Kemudahan skuasy di Sarawak lebih baik, kata atlet India

Spread the love

KUCHING, 10 Sept : Atlet skuasy remaja India, Teerth Jilka berkata, prasarana sukan berkenaan yang terdapat di Sarawak adalah lebih baik berbanding di negaranya.

Atlet berusia 17 tahun itu berkata, dia gembira kerana mendapat peluang beraksi di sini pada Kejohanan Skuasy CMS Remaja Terbuka Borneo kali keenam.

“Saya teruja dapat menggunakan kemudahan di sini di samping berpeluang mengenali dan bersaing dengan pemain skuasy peringkat umur yang sama terutamanya pemain Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Jilka berkata, dia akan menggandakan usaha bagi memastikan dirinya mencatatkan keputusan yang lebih baik pada pertandingan akan datang.

“Saya kalah kepada Abdullah Nadim dari Pakistan namun saya akan giat berlatih dan mempersiapkan diri untuk kembali bersaing dalam kejohanan ini pada tahun hadapan,”katanya.

Selain Jilka, kejohanan berkenaan turut disertai oleh 365 peserta dari 10 negara termasuk Malaysia.

Antara negara lain yang menghantar wakil termasuklah Indonesia, Singapura, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, India, Jepun dan Amerika Syarikat.

Pertandingan bermula sejak 7 September dan berakhir esok melibatkan beberapa kategori lelaki dan perempuan termasuk bawah 11, 13, 15,17 dan 19 tahun di Sarawak Squash Centre, Petra Jaya, Kuching.

Semalam berlangsungnya majlis makan malam bagi meraikan kesemua atlet yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, Presiden Squash Racquets Association of Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro, Pengerusi pertandingan CMS Borneo Junior Open, Lucy Read dan wakil dari Cahya Mata Sarawak (CMS). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.