Ismail Sabri umum kenaikan elaun sara hidup pelajar tajaan MARA

Spread the love

BANGI, 10 Sept : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata kadar baharu ESH bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.

Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.

“ESH pelajar sedia ada dan baharu yang mengikuti pengajian dalam negara diselaraskan bersesuaian dengan peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.

“Kenaikan ESH  kepada pelajar tajaan MARA ini bakal melibatkan seramai 62,998 orang,” katanya ketika berucap pada program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia yang dihadiri hampir 3,000 pelajar tajaan MARA secara fizikal dan ribuan lagi pelajar yang mengikutinya secara dalam talian.

Ismail Sabri berkata ketika ini terdapat seramai 4,149 pelajar tajaan MARA yang sedang mengikuti pengajian di luar negara, dan daripada jumlah itu, seramai 1,049 pelajar sedang mengikuti pengajian di 24 universiti dalam senarai 50 universiti terbaik dunia.

Seramai 58,849 pelajar tajaan MARA pula sedang mengikuti pengajian dalam negara di universiti awam atau institusi pendidikan swasta terpilih daripada kedudukan atau ranking 4 hingga 6 Star SETARA iaitu Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Menyingkap keputusan menaikkan kadar ESH, Ismail Sabri berkata ESH yang disediakan MARA digunakan pelajar bagi menampung perbelanjaan harian meliputi kos makan minum, sewaan kediaman, pengangkutan dan keperluan harian semasa pengajian.

Beliau berkata kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun dan terdapat keperluan untuk disemak semula berikutan peningkatan kos sara hidup dalam negara sejak 10 tahun lalu, pandemik dan isu lain yang melanda dunia.

“Ini memberi kesan kepada kos sara hidup pelajar di dalam dan luar negara sehingga mereka terpaksa merancang perbelanjaan dengan baik bagi memastikan pembelajaran serta tugasan akademik tidak terjejas,” katanya.

Berdasarkan tinjauan JPA-MARA ‘Special Operation’ pada Februari lepas dengan menumpukan kepada kehidupan di kota utama seperti London, Bristol dan Edinburgh, Ismail Sabri berkata lebih 60 peratus pelajar tajaan MARA dan JPA yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

“Sebagai contoh, purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah sekitar £500 atau RM2,733 hingga £730  atau RM3,990 iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, elaun sara hidup pelajar MARA dan JPA seperti di London ialah sebanyak £1,045 atau RM5,712, jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 atau RM7,172 setakat September 2021.

“Para pelajar terpaksa mengamalkan perbelanjaan berhemah melalui pemotongan bajet dengan cara mengikat perut, mendapatkan tempat tinggal yang jauh sedikit daripada universiti selain bekerja sambilan di luar waktu kelas bagi menampung keperluan harian.

“Kerajaan tidak akan biarkan rakyat khususnya pelajar mengikat perut sewaktu belajar,” katanya kenaikan ESH adalah wajar dan bertepatan bagi membantu meringankan beban pelajar Keluarga Malaysia berikutan peningkatan perbelanjaan sara hidup yang dihadapi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.