Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan Tanjung Jerijeh

Spread the love

KUCHING, 10 Sept : Sebuah bot nelayan Indonesia ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Rabu lepas kerana disyaki menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira 68 batu nautika dari barat laut Tanjung Jerijeh.

Katanya, bot itu yang tiada nombor pendaftaran dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan oleh kapal maritim Semilang yang melakukan rondaan sempena Op Permai pada pukul 10.26 malam.

“Hasil pemeriksaan, anggota Maritim Malaysia mendapati bot itu dikendalikan oleh tekong dan seorang kru warga Indonesia berumur 51dan 15 tahun, disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Mereka juga melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Gilbert Tinggak berkata, kedua – dua nelayan itu mengaku berasal dari Kepulauan Natuna Besar,Indonesia.

Jelasnya, mereka kemudiannya ditahan manakala peralatan menangkap ikan serta sejumlah ikan turut dirampas.

“Bot dan hasil rampasan diiring ke Jeti Terminal Tanjung Manis untuk siasatan lanjut,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.