Tiada negara ahli Interpol sah keberadaan Jho Low – KPN

Spread the love

KUALA LUMPUR, 9 Sept : Permohonan ekstradisi terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low tidak dapat dilakukan memandangkan tiada negara ahli Polis Antarabangsa (INTERPOL) mengesahkan keberadaannya.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang berkata usaha mengesan Jho Low masih giat dijalankan dan segala maklumat diterima mengenai keberadaan individu itu di negara asing diteliti kesahihannya termasuk menggunakan saluran kerjasama pihak berkuasa di negara-negara berkenaan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah memohon dan memperoleh notis merah (orang dalam buruan dikhendaki untuk pendakwaan) terhadap Jho Low daripada INTERPOL pada 2018.

“Pihak yang mempunyai mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low diminta untuk menyalurkan kepada Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-2111222 (Whatsapp sahaja) atau balai polis berhampiran.

“Setiap maklumat diterima akan diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada INTERPOL bagi mendapatkan bantuan pengesahan lanjut daripada negara ahli yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata notis merah yang dikeluarkan oleh INTERPOL kepada 195 negara ahli adalah sebagai makluman dan mendapatkan bantuan maklumat daripada negara ahli INTERPOL mengenai keberadaan penjenayah dalam buruan itu.

Menurutnya, sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, INTERPOL negara berkenaan adalah bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh notis merah bagi proses permohonan ekstradisi.

Acryl Sani berkata PDRM kekal komited dalam memastikan Jho Low ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan termasuk memfailkan 13 pertuduhan di mahkamah tanpa kehadirannya (in absentia) melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Selain PDRM, pihak berkuasa asing di Singapura dan Amerika Syarikat turut menjalankan siasatan terhadap Jho Low. Kedua-dua negara telah menfailkan pertuduhan terhadapnya,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Jho Low didakwa bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, Bradley Hope, menerusi episod pertama program ‘Where is Jho Low? The Search for the 1MDB Fraud Mastermind’, yang disiarkan di platform YouTube.

Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di taman tema Disneyland Shanghai.

Hope mendakwa gambar bertarikh 24 Dis 2019 itu diterima daripada sumber yang boleh dipercayai.

1MDB telah memfailkan saman AS$3.7837 bilion (RM17.02 bilion) terhadap Jho Low dan empat anak syarikatnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.