MKMA63 perakui pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah, Sarawak

Spread the love

KOTA KINABALU, 9 Sept : Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah memperakui langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata isu itu dibincangkan secara terperinci dan diperakui pada mesyuarat kelima Majlis Khas itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

“Namun, lebih banyak (sesi) libat urus diperlukan berkaitan isu tersebut, terutama dalam kalangan penggubal dan pengamal undang-undang yang berkhidmat di Borneo,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Berdasarkan pengiraan terkini, 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen adalah di Semenanjung Malaysia, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi adalah untuk negeri-negeri Borneo iaitu Sarawak (31) dan Sabah (25).

Endorsmen oleh MKMA63 itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak telah menuntut semakan semula terhadap bilangan kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak (24) dan Singapura (15) iaitu mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah milik Tanah Melayu.

“Tanah Melayu secara sendiri tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Oleh sebab itu apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi (Parlimen) kepunyaan Singapura sepatutnya diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk memenuhi perwakilan 35 peratus,” katanya dan menambah langkah pengembalian kerusi itu telah diperakui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012.

Ongkili menambah tugas utama ialah meyakinkan Suruhanjaya Pilihan Raya, namun menekankan bahawa isu itu patut diperjuangkan kerana ia selari dengan usaha pengembalian hak MA63.

MKMA63 yang dibarisi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menteri kanan Persekutuan dan negeri serta pegawai kanan kerajaan, turut dimaklumkan bahawa kedua-dua negeri itu akan menerima pertambahan doktor dan jururawat tidak lama lagi, selain kemudahan perubatan.

“Serta dalam pelaksanaan ialah rancangan untuk membaik pulih hospital dan klinik usang di kedua-dua negeri dan memastikan bilangan pakar yang mencukupi di semua pusat kesihatan,” menurut kenyataan itu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.