Isu jumlah wakil Sabah dan Sarawak di Parlimen akan diberi perhatian – Ismail Sabri

Spread the love

KUALA LUMPUR, 9 Sept : Kerajaan komited untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikannya semalam.

Menurut catatan di Facebooknya hari ini, mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, menteri-menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak.

Baca artikel berkaitan > > > MKMA63 perakui pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah, Sarawak

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Ismail Sabri berkata perkara lain yang dibangkitkan pada mesyuarat itu termasuk isu berkaitan ekonomi dan kesihatan di kedua-dua negeri Borneo berkenaan.

Perdana Menteri turut memberi komitmen kerajaan terhadap pembangunan Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang itu menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang 7 Okt ini.

“Insya-Allah, segala isu yang berbangkit di negeri-negeri Borneo ini akan diambil perhatian selaras semangat Keluarga Malaysia,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.