Warga emas hilang kali keempat selepas keluar memancing di Mulu

Spread the love

MARUDI, 8 Sept : Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar memancing di hulu sungai di Kampung Batu Bungan, Mulu,pada 25 Ogos lalu.

Mangsa dikenali sebagai Ago Deng berbangsa Penan berusia 65 tahun yang berasal dari Kampung Batu Bungan, Mulu.

Difahamkan, mangsa mempunyai masalah dementia atau penyakit mudah lupa.

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Sarawak, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi menerima panggilan memaklumkan perkara itu pada pukul 10 pagi tadi.

Katanya, seramai empat anggota dari BBP Marudi memulakan operasi pencarian di kawasan yang dipercayai kali terakhir mangsa dilihat oleh orang awam.

“Operasi pencarian telah dibahagikan kepada dua pasukan iaitu satu di hutan Kampung Batu Bungan sejauh tiga kilometer (km) manakala pasukan kedua pula menggunakan perahu menyusuri Sungai Melinau sejauh lima km,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Difahamkan, mangsa pernah dilaporkan hilang sebanyak tiga kali iaitu paling lama hilang selama tujuh hari sebelum ini.

Setakat ini, kedua-dua pasukan mencari dan menyelamat yang digerakkan gagal menemui sebarang petunjuk dan operasi  ditangguhkan pada jam 4.40 petang tadi dan akan disambung esok. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.