Wajar beri kelonggaran pemakaian pelitup muka, kata pakar

Spread the love

KUCHING, 8 Sept : Kelonggaran pemakaian pelitup muka yang diumumkan kerajaan semalam merupakan keputusan wajar berdasarkan situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia, kata Dr. Helmy Hazmi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam,Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata,ketika ini kes jangkitan di Malaysia terkawal manakala purata kes kematian dan bilangan kumulatif kes yang teruk juga rendah.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron – Khairy
  2. 2. Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini atas pilihan – Khairy

“Ini membolehkan fasiliti kesihatan awam negara dapat menampung pesakit yang memerlukan rawatan,”katanya ketika dihubungi TVS.

Dr. Helmy Hazmi

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam yang pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kini atas pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Khairy berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira situasi semasa COVID-19 dalam negara serta penilaian semasa yang dilakukan kementeriannya.

Sementara itu, Dr. Helmy juga berpendapat yang kelonggaran diberikan tidak akan memberi kesan kepada pertambahan kes kritikal secara mendadak.

“Ini berpandukan kepada graf empat bulan kebelakangan ini serta peratusan penerimaan dua dos vaksin yang mencapai lingkungan 85 peratus,”katanya.

Di sebalik kelonggaran yang diumumkan, beliau berkata, ianya tidak bersifat total kerana kerajaan masih mewajibkan pemakaiannya di beberapa tempat.

“Keputusan yang diumumkan semalam masih mengutamakan golongan dan tempat yang berisiko apabila pemakaiannya di hospital, fasiliti kesihatan dan pengangkutan awam masih diwajibkan,”katanya.

Baginya, polisi ini memberikan mesej supaya orang ramai mengambil langkah berjaga – jaga terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.

Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai yang masih belum mendapatkan dos penggalak supaya berbuat demikian dengan segera untuk meningkatkan tahap imuniti badan melawan berkenaan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.