Projek kesejahteraan rakyat di Repok terus dipertingkatkan

Spread the love

SARIKEI, 8 Sept : Kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan prasarana sejajar dengan pelaksanaan pelan pembangunan bersepadu untuk manfaat rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif tersebut amat penting dalam usaha membangunkan kawasan DUN Repok dalam pelbagai sudut khususnya ekonomi berasaskan pertanian.

Perlaksanaan projek pembangunan itu katanya, membuktikan kerajaan tidak mengabaikan keperluan rakyat yang ingin menikmati kemudahan yang lebih selesa dan kondusif.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mengambil kira keperluan rakyat agar mereka tidak tersisih dalam arus pembangunan.

Malah keperluan dan kebajikan rakyat di seluruh Repok juga tetap diberikan perhatian yang sewajarnya,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terkini perlaksanaan projek di kawasannya hari ini.

Sempena lawatan itu, antara projek yang ditinjau termasuk pemasangan 87 lampu jalan di Nyelong By Pass, pembinaan pembahagi jalan di Jalan Repok, naik taraf sistem perparitan Jalan Jubli Mutiara serta projek menambah baik beberapa rumah ibadat dan sekolah.

Sehubungan itu Tiong Sii berkata, kesungguhan kerajaan juga banyak membantu menyelesaikan masalah yang berkaitan.

Dalam pada itu ujarnya, sokongan rakyat telah meningkatkan lagi semangat beliau untuk memberi perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan DUN Repok terus membangun dalam segenap aspek. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.