Pelajar IPT diseru mohon tablet PerantiSiswa Keluarga Malaysia sebelum 30 September ini

Spread the love

TERENGGANU, 8 Sept : Kerajaan menerima sebanyak 65,898 permohonan tablet di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia fasa kedua sejak mula dibuka pada 1 Ogos lepas.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelbagai pihak terutama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) diseru untuk menguar-uarkan kepada para pelajar yang layak supaya segera mengemukakan permohonan sebelum 30 September ini.

“Kita mempunyai pelajar keseluruhan seramai 1.6 juta namun jumlah yang berada di bawah kategori B40 lebih 300 000 pelajar.

“Oleh itu, kita minta pelajar yang layak namun masih belum memohon supaya segera berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Bangunan Akademik dan Pentadbiran, Bangunan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Tanah Bris (TRIBE) dan ‘Agropreneur Incubator Park’ (AIP) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Kampus Besut hari ini.

Katanya pemberian tablet jenama Samsung itu bergantung kepada permohonan memandangkan terdapat pelajar yang tidak mengemukakan permohonan kerana telah mempunyai komputer riba atau tablet sendiri.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar daripada keluarga B40 di IPT.

Sebelum ini permohonan untuk inisiatif PerantiSiswa yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lepas bagi fasa pertama telah menerima kira-kira 100,000 permohonan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.