Bank Negara naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Sept : Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus yang merupakan kenaikan ketiga bagi tahun ini.

Menurut bank pusat itu, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat kelima Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, turut menyaksikan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

“Ekonomi global terus berkembang meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

“Bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa,” kata BNM dalam satu kenyataan pada akhir mesyuarat MPC selama dua hari yang bermula pada 7 September lepas.

Jelas bank pusat itu, tekanan inflasi kekal tinggi berikutan harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” katanya.

Menurut BNM, ini khususnya pelarasan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka menghadapi cabaran daripada kesan dasar monetari yang diperketat dalam kebanyakan ekonomi serta langkah-langkah pengurusan pandemik di China.

“Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan lebih perlahan, termasuk tekanan kos yang tinggi, kemungkinan berlakunya krisis tenaga di Eropah dan keadaan pasaran kewangan yang diperketat secara mendadak,” kata BNM.

 

Peralihan Malaysia Ke Fasa Endemik, Langkah Dasar Menyumbang Pertumbuhan Kukuh

Merujuk ekonomi Malaysia, bank pusat itu berkata, peralihan ke fasa endemik dan langkah-langkah dasar telah menyumbang kepada prestasi pertumbuhan lebih kukuh pada suku kedua 2022 dengan petunjuk memaparkan pertumbuhan berterusan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta.

“Keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan terus positif dengan pengangguran dan guna tenaga tidak penuh, terus berkurangan. Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan meningkatkan sektor berkaitan pelancongan.

“Aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun. Bagaimanapun, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

“Meskipun volatiliti dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing meningkat, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Malah, BNM menegaskan bahawa keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing berfungsi dengan teratur.

Institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh yang memastikan pengantaraan kewangan terus menyokong ekonomi.

“Pada masa hadapan, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negara menjadi perlahan susulan daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk,” katanya.

 

Purata Inflasi Keseluruhan Pada 2.8 Peratus

Menurut BNM, sejak awal tahun sehingga kini, purata inflasi keseluruhan pada 2.8 peratus dan diunjur mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga 2022 sebelum turun selepas itu, disebabkan oleh kesan asas yang semakin luput dan sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin susut.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0-3.0 peratus pada 2022 dengan beberapa tanda wujudnya tekanan yang didorong oleh permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.

“Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi dengan sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi.

“Prospek inflasi bagaimanapun, terus dipengaruhi oleh langkah dasar dalam negara serta perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan,” kata BNM.

Menurut bank pusat itu, berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif terus kukuh, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

BNM menegaskan, MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negara.

“Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil,” kata BNM. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.