Bajet 2023 untuk MAFI perlu melebihi RM4.82 bilion

Spread the love

KEPALA BATAS, 8 Sept : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berharap peruntukan Bajet 2023 bagi kementerian itu akan dipertingkatkan dalam merancakkan kecukupan bekalan makanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI merupakan salah satu kementerian yang penting khususnya dalam memberi jaminan keselamatan bekalan makanan.

“Pelbagai program perlu dilaksanakan secara berterusan di samping menyusun program baharu bagi memastikan kerancakan pengeluaran bekalan makanan.

“Semua ini memerlukan dana yang berterusan dan MAFI berharap Kementerian Kewangan melihat ini sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan dan seterusnya meningkatkan peruntukan MAFI pada Bajet 2023,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang (PPN) Pulau Pinang Kali ke-48 di sini.

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 dijangka dibentangkan pada 7 Oktober depan.

Menerusi Bajet 2022 , peruntukan sebanyak RM4.82 bilion disalurkan kepada MAFI.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga sayur berikutan kemerosotan bekalan sebanyak 10 peratus ekoran cuaca tidak menentu ketika ini, Ronald berkata, situasi itu masih terkawal.

Katanya, MAFI akan mengambil langkah intervensi terhadap bekalan sayur sekiranya berlaku kenaikan harga dalam usaha memastikan pengguna mendapat harga yang memadai.

“Sejak dua tahun lalu, terdapat turun naik harga bekalan makanan yang disebabkan kos import yang tertakluk kepada perubahan kos di luar negara yang berada di luar kawalan kerajaan.

“Bagi bekalan sayur, jika ianya perlu diintervensi daripada kerajaan sebagaimana yang berlaku pada ayam dan telur ayam iaitu dengan kerajaan memberi subsidi dan sebagainya, kita akan bantu bagi memastikan pengguna mendapat harga yang memadai,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.