Affin, RHB naikkan kadar rujukan sebanyak 25 mata asas mulai 12 Sept, 2022

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Sept:  Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank Bhd akan menaikkan kadar rujukan masing-masing sebanyak 25 mata asas berkuatkuasa 12 September 2022.

Menurut Affin dalam kenyataannya hari ini, berikutan itu, Kadar Deposit Tetap Affin Bank dan Kadar Deposit-i Berjangka Affin Islamic akan turut dinaikkan berkuatkuasa pada tarikh sama.

“Ini selaras dengan pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dinaikkan daripada 2.25 peratus kepada 2.50 peratus,” katanya.

Sementara itu, dalam tindakan sama, RHB Banking Group akan menyemak naik kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR) dan kadar asas pinjaman/pembiayaan (BLR/BFR) sebanyak 25 mata asas berkuatkuasa 12 September ini.

“RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd akan menaikkan kadar SBR daripada 2.25 peratus kepada 2.5 peratus manakala BR kepada 3.25 peratus daripada 3.00 peratus setahun.

“Kami akan turut menyemak semula BLR/BFR kepada 6.20 peratus setahun daripada 5.95 peratus. Selaras itu, kadar simpanan tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank juga akan disemak naik,” katanya dalam satu kenyataan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.