Abang Johari setuju projek jalur lebar kelajuan tinggi di Sungai Asap – Kennedy Chukpai

Spread the love

KUCHING, 8 Sept : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju terhadap cadangan perlaksanaan projek rangkaian jalur lebar terbuka berkelajuan tinggi di Sungai Asap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, Abang Johari turut mencadangkan agar projek perintis pendigitalan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di Sebauh dilakukan di Belaga dan Sungai Asap.

Kennedy Chukpai berkata, beliau sudah menulis surat rasmi kepada Abang Johari untuk memohon kelulusan membabitkan peruntukan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.

“Pada masa ini, di Belaga mempunyai internet mudah alih namun kita mahu menghubungkan Sungai Asap dengan gentian optik supaya bank boleh beroperasi di sini.

“Melalui taklimat yang dianjurkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), kita mendapat maklumat mengenai perancangan jangka pendek dan panjang pendigitalan untuk penduduk Sungai Asap,”katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas taklimat bersama SMA yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Utiliti (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang.

Sementara itu, Liwan Lagang berkata, pengorbanan yang dilakukan oleh penduduk Sungai Asap yang berpindah daripada kawasan asal mereka bagi membolehkan pembinaan Empangan Hidroelektrik Bakun wajar dibalas dengan menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.

Katanya, inisiatif berkenaan penting supaya penduduk di situ tidak ketinggalan pada era teknologi digital.

“Saya mahu melihat penduduk di Sungai Asap yang telah mendiami penempatan semula dihubungkan dengan liputan internet yang lancar melalui gentian optik.

“Kita tahu mereka telah mengorbankan rumah untuk projek tenaga yang sangat diperlukan bagi memacu Sarawak ke arah pembangunan yang lebih besar,”katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak memberi jaminan bahawa pihaknya akan memantau dan mengesyorkan strategi terbaik untuk mendigitalkan Sungai Asap.

Terdahulu semasa taklimat berkenaan, turut didedahkan peruntukan sebanyak RM38 juta diperlukan bagi projek gentian optik di Sungai Asap yang membabitkan rumah panjang, sekolah, klinik, pejabat daerah kecil dan tempat ibadat.

Selain itu, Telekom Malaysia memerlukan RM4 juta untuk pembinaan menara telekomunikasi bagi menghubungkan Sungai Asap dengan gentian optik. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.