Abang Johari bertemu pemain industri petrokimia Korea Selatan yang berminat melabur di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 8 Sept : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengadakan pertemuan dengan dua syarikat di Korea Selatan yang berminat untuk melabur dalam industri petrokimia di Sarawak.

Abang Johari dan delegasinya yang kini berada di Korea Selatan sejak Ahad lepas berkata, pelaburan berkenaan adalah berkaitan penghasilan rantaian petrokimia rumit yang sedang dibangunkan di Sarawak.

“Antara tujuan delegasi Sarawak ke sini adalah bertujuan untuk meningkatkan perkongsian dengan industri Korea Selatan dalam bidang penjanaan tenaga hijau dan inovasi.

“Pelaburan ini sangat dialu-alukan kerana ianya selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang turut meletakkan industri petrokimia sebagai penyumbang kepada Sarawak untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Abang Johari, Bintulu merupakan hab petrokimia Sarawak yang mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong pelaburan berkenaan.

“Pada masa ini, terdapat juga beberapa projek petrokimia yang sedang dilaksanakan yang berpotensi memberikan sinergi kepada pelaburan berkenaan,” katanya.

Delegasi Abang Johari ke negara berkenaan turut disertai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.