Tourism Malaysia Jakarta tingkatkan promosi tarik pelancong Indonesia ke Sarawak

Spread the love

JAKARTA, 7 Sept : Tourism Malaysia Jakarta sedang meningkatkan rangka promosi untuk menarik lebih ramai pelancong Indonesia melawat Sarawak.

Pengarahnya, Junus Suhid berkata, selain Jakarta, pihaknya juga melihat Kalimantan sebagai lokasi berpotensi untuk mengadakan program berkenaan.

“Setakat ini kita sudah merancang aktiviti promosi termasuk akan mengadakan road show di beberapa bandar di Kalimantan untuk mempromosikan beberapa tempat menarik di Sarawak termasuklah Kuching,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Cuisine Festival di sini semalam.

Berhubung pengangkutan untuk pelancong Indonesia melawat Sarawak, Junus berkata, selepas pembukaan sempadan termasuklah perkhidmatan perjalanan darat dari Singkawang dan Pontianak, perkara itu dijangka akan turut merancakkan aktiviti pelancongan.

“Selain itu usaha sedang dilakukan termasuk mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi menawarkan penerbangan terus Jakarta ke Kuching,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Tourism Malaysia Jakarta juga meletakkan sasaran baharu iaitu seramai 400 000 pelancong Indonesia melawat Malaysia berbanding sasaran awal 180 000 pada tahun ini.

“Sejak pembukaan sempadan pada April, seramai 200 000 pelancong Indonesia telah melawat Malaysia setakat Jun lepas,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.