Tambah baik ekosistem logistik dalam penyediaan Bajet 2023

Spread the love

BINTULU, 7 Sept: Kerajaan akan mempertimbang menambahbaik ekosistem logistik dalam penyediaan Bajet 2023 bagi memudahkan aktiviti perdagangan serantau.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah, industri penghantaran barangan merupakan bidang yang berpotensi bagi membina pertumbuhan baharu berteraskan aktiviti eksport.

“Seperti mana sedia maklum, industri penghantaran barang merupakan bidang yang berpotensi tinggi bagi membina pertumbuhan baru berteraskan aktiviti eksport.

“Justeru, Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan penambahbaikan ekosistem logistik di dalam penyediaan Bajet 2023 untuk memudahkan aktiviti perdagangan serantau.” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas program libat urus bersama pemain industri freight forwarding dan perkapalan di Lembaga Pelabuhan Bintulu di sini semalam.

Tambahnya langkah penambahbaikan tersebut selaras hasrat Bajet 2023 iaitu untuk memperkukuh pemulihan, memudah cara pembaharuan ke arah kemampanan daya tahan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Ini semua akan diperkukuhkan melalui jalinan kerjasama dan penyelerasan yang lebih baik antara Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan melalui sesi libat urusan seperti ini dan pertemuan secara berkala dengan pihak-pihak berkepentingan.” tambahnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan akan menjajarkan semula proses penyampaian perkhidmatan agar lebih memudah cara dan berpandukan data kerana kepentingan menyampaikan maklumat yang betul, tepat dan mudah merupakan satu cabaran yang perlu disahut pihak kerajaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.