Sektor awam penting bantu kerajaan capai PCDS 2030 – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 7 Sept : Sektor Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri merealiasasikan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini dapat dilaksanakan oleh SCS dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini.

Kata beliau, perkhidmatan awam juga berperanan menyediakan penyelesaian untuk menangani situasi yang baharu muncul dan seterusnya membantu memastikan kesejahteraan, sosial dan ekonomi negeri terus maju.

“Impak positif ini boleh disampaikan melalui penyampaian perkhidmatan yang pantas dan cekap oleh semua perkhidmatan awam Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Penutup Seminar Value Through Leadership di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah,Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Anak Tayai dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak dan perkhidmatan awam di sini perlu mempunyai Budaya Berprestasi Tinggi untuk membawa impak positif kepada rakyat.

“Oleh itu saya menggalakkan SCS untuk menjadi kreatif dan inovatif dalam menambah baik proses kerja bagi menjimatkan masa dan kos serta pada masa yang sama cekap dan telus,”katanya.

Kata Abang Johari, beliau juga berharap agar pegawai kerajaan memahami keperluan rakyat akar umbi kerana telah diberi kepercayaan untuk merangka dasar, prosedur dan undang – undang.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.