Sarawak mampu bekalkan air bersih 24 jam melalui sistem grid bekalan air

Spread the love

MIRI, 7 Sept: Sarawak kini mampu menyalurkan bekalan air bersih 24 jam kepada penduduk menggunakan sistem grid bekalan air Sarawak.

Sistem yang diilhamkan Premier Sarawak Datuk Datinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2017 itu sedang dibangunkan secara berperingkat mengikut zon.

Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak untuk memberi kesejahteraan dan kehidupan yang berkualiti kepada rakyat dari segi bekalan air di samping utiliti lain.

Kerana sistem water grid ini adalah jawapan yang tepat, jawapan yang lengkap untuk memastikan bahawa bekalan air bersih dapat dinikmati seluruh tempat dan rakyat Sarawak akan menikmatinya secara berterusan.

“Katakanlah salah satu tempat itu ada masalah, mengalami masalah air dan terputusnya bekalan air, maka ia akan disambung oleh sistem grid yang ada.

“Maknanya bekalan air bersih sentiasa dinikmati secara 24 jam berterusan oleh semua pengguna-pengguna di Sarawak secara keseluruhan.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat mengenai projek-projek bekalan air yang telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan pada rancangan malaysia yang ke-12 di sini semalam.

Menurutnya lagi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah bekerjasama dengan Laku Management, Lembaga Air Sibu dan Lembaga Air Kuching untuk pelaksanaan di setiap zon utara, tengah dan selatan.

“Jadi apa yang sedang dilaksanakan oleh JBALB pada hari ini dengan kerjasama Laku Management (LAKU) untuk kawasan utara akan menepati usaha kita untuk membentuk satu grid air di kawasan zon utara.

“Begitu juga dengan JBALB dan Lembaga Air Sibu melengkapkan sistem grid di kawasan tengah.

“Dan untuk kawasan selatan, Lembaga Air Kuching bersama dengan JBALB juga bekerjasama untuk membentuk jaringan grid air di kawasan selatan,” katanya.

Tambahnya ketiga-tiga grid ini akan bersambung dan membentuk satu sistem grid air negeri yang lengkap untuk sarawak pada masa akan datang menjelang 2030. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.