Polis kesan lelaki intai guru wanita dalam tandas

Spread the love

SHAH ALAM, 7 Sept:  Polis sedang mengesan seorang lelaki didakwa mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam, Seksyen 21, di sini pada 15 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 32 tahun, pada hari sama.

Beliau berkata perbuatan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular menerusi media sosial yang menunjukkan dia masuk ke tandas wanita di kompleks sukan terbabit.

Menurut Mohd Iqbal, pada hari kejadian, guru tersebut membawa pelajar ke kompleks itu untuk latihan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan dan semasa wanita itu berada dalam tandas, didapati seorang lelaki sedang mengintai dari bilik tandas sebelah.

“Suspek kemudian melarikan diri sejurus mendengar jeritan pengadu (guru) dan pengadu menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Siasatan sedang dilakukan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.