Pembangunan semula sekolah daif masuki fasa tiga

Spread the love

MUKAH, 7 Sept : Perlaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif pakej 12 , fasa dua membabitkan peruntukan RM1 billion kini memasuki fasa tiga.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo berkata, bagi Mukah, kerja sedang dilaksanakan membabitkan tiga sekolah rendah.

Katanya, tiga sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak, SK Dua Sungai dan SK Dijih Selangau Sibu.

“Kita berpuas hati dengan kemajuan fizikal projek setakat ini bagi SK Kampung Petanak yang dijangka siap awal tahun depan iaitu lebih awal daripada jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan proses naik taraf berkenaan di SK Kampung Petanak bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Menurut Aidel, projek di SK Kampung Petanak merupakan projek gantian penuh yang turut melibatkan tiga buah sekolah dalam satu pakej termasuk SK Dua Sungai, SK Kampung Petanak dan SK Dijih Selangau yang membabitkan kontrak RM21 juta.

Sementara itu, Aidel tidak menafikan berlakunya kelewatan untuk projek berkenaan yang dikendalikan oleh kontraktor sama meskipun dilaksanakan secara serentak.

“Antara faktor yang menyebabkan kelewatan ialah keadaan geografi yang berbeza mengikut setiap kawasan,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana akan terus komited memastikan semua projek sekolah daif dapat disiapkan sebelum sesi persekolahan baharu bermula.

“Perkara ini bukan mudah kerana melibatkan pelbagai cabaran termasuk logistik.

“Bagi peruntukan RM1bilion untuk pembangunan sekolah daif ini, sebenarnya telah melebihi jumlah asal, ianya melibatkan peruntukan yang diberikan dalam Rancangan Malaysia semasa,” jelasnya lagi -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.