Pelajar cemerlang STPM di Matu kini ‘diterima’ sebagai rakyat Malaysia

Spread the love

SIBU, 7 Sept : Mohammad Aidill Maula Hamdan,19, tersenyum puas setelah impiannya untuk bergelar rakyat Malaysia ‘yang sah’ menjadi kenyataan hari ini selepas menerima dokumen kewarganegeraan.

Dilahirkan tanpa dokumen kerakyatan, Mohammad Aidill Maula telah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya pada 2016.

Berasal dari Matu dan mempunyai tujuh orang adik beradik, remaja berkenaan menerima dokumen kewarganegaraan yang diserahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam majlis ringkas di Kompleks Islam Baitulmal di sini.

Katanya, setelah menerima ‘kad penting’ itu, dia tidak mahu menoleh kebelakang lagi dan akan fokus untuk mengejar cita – citanya bergelar guru.

“Semasa di sekolah rendah, saya bercita – cita untuk menjadi seorang anggota polis tetapi kini telah berubah kerana saya mahu menjadi pendidik,” katanya.

Dia yang mendapat keputusan cemerlang 3 A dan 1 B dengan gred purata 3.59 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru – baru ini memberitahu, telah memohon untuk mengikuti kursus perguruan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

Sementara itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) juga telah memberikan tawaran bersyarat kepada Mohammad Aidill Maula sekiranya pelajar cemerlang itu mahu melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Sempena menerima taraf kewarganegaraan hari ini, Mohammad Aidill Maula turut mengucapkan terima kasih kepada Fatimah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang meluluskan permohonannya.

“Penantian hari ini berbaloi kerana saya telah melalui pelbagai kesukaran dalam menempuh kehidupan tanpa kewarganegaraan yang sah terutamanya perlu membayar yuran sekolah yang mahal sehingga peringkat STPM.

“Semasa di Sekolah Kebangsaan (SK) Sibujaya, saya perlu membayar yuran RM120 setahun dan RM240 ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu.

“Yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak RM237 malah perlu membayar pada setiap semester ketika di tingkatan enam,” katanya.

Sementara itu, Fatimah menggesa pihak berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan proses permohonan kewarganegaraan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

“Saya difahamkan ada pemohon terpaksa menunggu sehingga enam tahun untuk mendapat keputusan.

“Ini terlalu lama menyebabkan pemohon sukar untuk meneruskan kehidupan harian mereka terutama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Memiliki taraf kewarganegaraan akan membawa banyak perubahan  untuk mereka,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 268 permohonan kewarganegaraan daripada 1,042 permohonan di Sarawak telah diluluskan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sejak Ogos 2016 hingga September 2022.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 100 tinggal di kawasan terpencil di negeri ini.

“Kira-kira 50 tidak dapat dihubungi untuk mengambil dokumen kewarganegaraan mereka kerana dipercayai sudah bertukar nombor telefon.

“Manakala selebihnya telah meminta bantuan melalui ketua-ketua masyarakat masing-masing yang berjaya mengesan mereka,”tambah beliau. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.