Lelaki tidak sempat nikmati upah RM200 seleweng minyak diesel

Spread the love

BUTTERWORTH, 7 Sept : Seorang lelaki tidak sempat menikmati upah RM200 melalui tugasan mengisi minyak diesel di 10 buah stesen minyak di negeri ini apabila hanya sempat berbuat demikian di empat stesen berikutan diserbu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Lelaki berusia 40-an itu yang merupakan pekerja sindiket tergamam apabila dihampiri empat pegawai ketika leka mengisi minyak diesel di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh dekat sini kira-kira pukul 6.45 petang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, pihaknya mendapati lelaki berkenaan berpura-pura seolah-olah mengisi minyak diesel ke dalam tangki minyak lori itu bagi mengaburi mata pihak pihak berkuasa.

“Sebenarnya tangki itu telah diubahsuai dan disambungkan ke sebuah tangki besar berkapasiti 20,000 liter yang terletak di atas lori, lengkap dengan pam bermotor untuk menyedut.

“Ketika pemeriksaan, terdapat 1,810 liter minyak diesel bernilai RM3,892 yang telah diisi dari tiga stesen minyak sebelum itu dan sebahagianya di stesen minyak keempat,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan di sini malam tadi.

Sementara itu, Mogan berkata, siasatan lanjut pihaknya ke atas pekerja berkenaan mendapati, dia ditawarkan upah RM200 untuk mengisi minyak diesel terbabit dari sepuluh buah stesen minyak di negeri ini.

“Majikan memberi wang RM5,000 untuk dia membuat pembelian 2,500 liter namun hanya sempat pergi ke empat stesen minyak.

“Malangnya, lelaki itu yang baru bekerja juga tidak sempat mendapat upah tersebut,” katanya lagi.

Beliau menambah, sindiket terpaksa ‘menjelajah’ ke beberapa stesen minyak berikutan kerajaan menghadkan pembelian minyak diesel sebanyak RM500 bagi setiap pengisian.

Katanya, selain menahan suspek, KPDNHEP turut menyita 1,810 liter minyak diesel bersama lori dan tangki yang diubahsuai dengan anggaran nilai RM69,192.70.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.