KEGUSA hantar tujuh pelayang ke Festival Layang – Layang Antarabangsa Pasir Gudang

Spread the love

SARIKEI, 7 Sept : Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA) sekali lagi akan membawa nama Sarawak melalui penyertaan kali kelima dalam Festival Layang-Layang Antarabangsa yang akan berlangsung di Pasir Gudang, Johor pada 16 hingga 18 September ini.

Presidennya, Kaunselor Iskandar Naziri berkata, KEGUSA mempertaruhkan tujuh pelayang profesional untuk menyertai beberapa acara yang akan dipertandingkan.

Katanya, empat akan menyertai persembahan tradisional, dua untuk pembuatan bengkel wau sobek kebangsaan selain turut mengambil bahagian bagi kategori wau moden.

“KEGUSA telah beberapa kali menjulang nama Sarawak dalam penyertaan Sirkit Layang-Layang Antarabangsa sebelum ini.

“Selain di Pasir Gudang, KEGUSA juga pernah berganding dengan pelayang profesional dunia dari lebih 30 negara melalui penglibatan dalam Festival Layang-Layang di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2019,” katanya.

Menurut Iskandar, matlamat pihaknya bukan sekadar adalah untuk memartabatkan permainan tradisional tetapi juga melibatkan komuniti yang bergiat dalam acara itu termasuk memanfaatkan sektor pelancongan.

Beliau yang juga ahli Majlis Pelayang Malaysia (MPM) berkata, penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa di Kabong lima tahun lalu adalah kejayaan terbesar KEGUSA kerana bukan sahaja disertai pelayang tempatan tetapi juga antarabangsa.

Katanya ketika penganjuran acara itu, penganjur berjaya menarik lebih 6,000 orang pengunjung yang turut membawa impak besar kepada pelancongan Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.