Hotel Kuching Park sahut cabaran pendigitalan Kerajaan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 7 Sept : Menginap di hotel ketika bercuti atau sekiranya mempunyai urusan perniagaan di luar kawasan biasanya menjadi momen yang menyeronokkan.

Bagaimanapun kadang – kala tetamu turut berdepan masalah terutamanya semasa proses daftar masuk yang memakan masa agak lama.

Menyedari perkara ini, Hotel Kuching Park di bandar raya ini memanfaatkan teknologi pendigitalan untuk kemudahan pelanggan mereka.

Pengurusnya, Patrick Lau berkata, mereka juga mahu menyahut saranan Kerajaan Sarawak yang menekankan aspek pendigitalan untuk memacu perniagaan.

“Penggunaan teknologi digital untuk operasi juga bertujuan untuk mengurangkan interaksi antara pekerja kami dengan pelanggan lebih – lebih lagi dalam keadaan kita belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19,”katanya kepada TVS baru – baru ini.

Katanya, menerusi sistem baharu yang diterapkan, pelanggan hanya perlu mendaftar masuk di kiosk yang disediakan dan kemudian mendapatkan kunci bilik di situ.

“Sistemnya sama seperti yang dilaksanakan di lapangan terbang. Setelah tetamu mendapat kunci, mereka boleh terus ke bilik yang ditempah,” katanya.

Katanya, langkah itu juga menjimatkan masa tetamu hotel lebih – lebih setelah melakukan perjalanan panjang, mereka tidak perlu ‘membuang masa’ di kaunter hotel sebaliknya boleh terus ke bilik untuk berehat.

Patrick berkata, pihaknya teruja kerana dapat ‘memainkan peranan’ untuk sama – sama menyahut aspek pendigitalan seperti yang sering ditegaskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kami berbangga kerana telah membawa pembaharuan dalam industri perhotelan dan saya percaya Kuching Park merupakan hotel digital pertama di Malaysia,” katanya.

Orang ramai yang ingin merasai pengalaman menginap di hotel digital berkenaan boleh memuat turun aplikasi Hello World Rewards di Google Apps Store dan Google Play Store. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.