Dua bersaudara edar dadah sejak awal tahun masuk perangkap polis

Spread the love
NIBONG TEBAL, 7 Sept : Dua individu yang mempunyai talian persaudaraan merupakan antara empat indivdu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Lee Chong Chern berkata, menerusi serbuan pertama di sebuah rumah di Jawi pada Jumaat lepas, pihaknya menahan suspek bersaudara iaitu wanita dan lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai pengedar dadah.
 
Katanya, polis menemui kira-kira 909 gram dadah jenis heroin bernilai RM10,000 dan dua gram syabu bernilai RM200 di dalam rumah.
 
“Susulan itu, tiga lagi serbuan diadakan di Butterworth dan polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun yang dipercayai pembekal dadah kepada mereka bersama wanita berusia 29 tahun.
 
“Pada serbuan di sebuah kondominium di Butterworth, tujuh ketulan mampat ganja seberat 6.9 kilogram bernilai RM17,500 dan 0.2 g syabu bernilai RM20 telah dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di sini hari ini.
 
Tambah Chong Chern, hasil siasatan mendapati, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif mengedar dadah bagi pasaran tempatan sejak awal tahun.
 
“Dadah yang dirampas ini juga dianggarkan dapat memberi bekalan kepada 18,366 orang penagih.
 
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine, syabu dan THC selain didapati mepunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya lagi.
 
 Beliau berkata, suspek direman selama seminggu sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.