Syarikat telekomunikasi disaran agar tidak tumpu kawasan bandar sahaja – Julaihi

Spread the love

KUCHING, 6 Sept: Pembekal perkhidmatan internet disaran untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meluaskan perkhidmatan internet ke seluruh Sarawak agar dapat memenuhi keperluan penduduk luar bandar.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata ketika ini syarikat-syarikat terlibat terlalu berpusatkan bandar dan mengabaikan keperluan penduduk di kawasan luar bandar.

Ini kerana menurutnya pembekal merasakan pelaburan keuntungan di kawasan luar bandar adalah memberi pulangan yang sedikit.

“Saya berharap pembekal akan mempercepatkan peluang untuk melanjutkan perkhidmatan ke kawasan luar bandar.

“Kami mahu seluruh kawasan di Sarawak mendapat liputan capaian internet,” katanya pada sidang media pelancaran Sistem Kabel Internet Batam Sarawak (BaSICS) dan Pusat Data Tier IV di sini hari ini.

Menurut Julaihi dalam usaha merealisasikan aspirasi tersebut, dianggarkan sebanyak 7,000 menara telekomunikasi diperlukan untuk memastikan setiap bahagian negeri memperoleh kemudahan internet.

Setakat ini 3,500 menara telekomunikasi telah didirikan di seluruh Sarawak dengan 1043 menara masih dalam proses pembinaan.

Justeru, beliau menggesa pembekal perkhidmatan internet merebut peluang menggunakan menara yang telah dibina untuk membekalkan capaian internet kepada masyarakat luar bandar.

“Ambil peluang ini supaya liputan internet boleh sampai ke mana-mana tempat di seluruh Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah kerajaan Sarawak juga mengusahakan sebanyak 600 menara telekomunikasi di seluruh negeri.

Katanya proses pembinaan tersebut dibahagikan kepada dua fasa dengan fasa pertama iaitu proses pemasangan peralatan telekomunikasi sedang giat dijalankan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.