Rumah Panjang Melanau Islam Kampung Sok, rumah panjang kaum Melanau terakhir

Spread the love

MATU, 6 Sept: Seolah menyedari dirinya tinggalan yang terakhir, sebuah rumah panjang Melanau Islam Kampung Sok bangga berdiri megah di sebuah perkampungan di daerah Matu, Daro.

Keunikan dan catitan warisan sejarah nya sudah pasti akan menarik minat para pencinta sejarah untuk mengunjunginya.

Rumah Panjang ini adalah rumah panjang kaum Melanau yang terakhir yang masih boleh ditemui dan masih berdiri gah di Kampung Sok, Matu.

Walaupun sudah tidak lagi berpenghuni, namun waris rumah ini masih lagi menjaga dan berusaha untuk memelihara rumah panjang kaum Melanau ini.

Menurut Ketua Kampung Jemoreng Mesaleh @ Che Jeni bin Shahdan, beliau percaya rumah ini sudah berdiri lama, bahkan sebelum tahun 1872 dan kini penghuni asal rumah ini sudah memasuki tujuh keturunan.

“Selain ruainya yang berbeza dengan rumah panjang Iban kerana terletak di bahagian tengah, rumah ini juga dibina tinggi bertujuan melindungi keselamatan penghuninya daripada ancaman musuh,” katanya ketika dikunjungi pemberita TVS hari ini.

Mesaleh berkata, rumah 26 pintu itu dibina berhampiran sungai kerana dipengaruhi oleh sosial ekonomi masyarakat Melanau ketika itu yang kebanyakannya nelayan dan petani.

Beliau menambah, Selain struktur asas yang kekal hingga ke hari ini, rumah berkenaan juga masih terletak di lokasi asal pembinaannya.

“Dulu, masyarakat Melanau mempunyai banyak rumah panjang. Bagaimanapun, perubahan semasa menyebabkan kebanyakan penghuninya berpindah dan membina rumah sendiri. Akibatnya semua rumah ini terbiar dan akhirnya lenyap. Yang tinggal hanyalah satu-satunya rumah ini,”

“Disebabkan keunikannya, Muzium Sarawak mengisytiharkan Rumah Panjang Melanau Sok sebagai satu warisan yang perlu dikekalkan pada 1987,” katanya lagi

Untuk rekod, penempatan kaum di Sarawak Melanau boleh dipecahkan kepada empat kelompok penempatan yang utama iaitu Kawasan Rajang, Mukah, Balingian-Tatu dan Bintulu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.