Pusat Data Santubong menjadi pusat data Tier IV pertama di Malaysia

Spread the love

KUCHING, 6 Sept: Sarawak akan menjadi perintis dalam penyimpanan data dengan Pusat Data Santubong dengan menjadi satu-satunya pusat data Tier IV di Malaysia dan merupakan salah satu daripada 30 pusat penyimpanan data di dunia.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata langkah menerajui pendigitalan adalah ‘kunci’ dalam transformasi ekonomi negeri ini.

Katanya pusat data Tier IV ini akan menjadi sebahagian daripada formula pendigitalan dalam meningkatkan ketersambungan di Sarawak terutamanya di luar bandar.

“Peranan ketersambungan internet dan sumbangan pusat data Tier IV ini memainkan peranan yang utama dalam membantu Sarawak mencapai sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Pelancaran Sistem Kabel Internet Batam Sarawak (BaSICS) dan Pusat Data Tier IV oleh irix pada Selasa.

Pusat Data Santubong berperanan sebagai pusat penyimpanan data dan pendaratan bagi BaSICS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PP Telecommunications, Dr Jonathan Smith Tier IV bermaksud data yang disimpan adalah selamat dan boleh diakses oleh individu berkaitan pada bila-bila masa.

“Satu faedah membina pusat data kami di Kuching ialah grid tenaga boleh diperbaharui yang meluas di negeri ini, menggunakan kuasa hidro.

“Ia telah membantu memenuhi keperluan tenaga hijau di pusat data kami,” katanya,

Dengan akses yang lebih baik dan penembusan jalur lebar yang lebih luas katanya, ekonomi dan taraf hidup masyarakat di Sarawak juga akan meningkat.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.