PPMW5 tumpaskan aktiviti seludup diesel dan kayu balak haram di Sungai Batang Rajang 

Spread the love
SIBU, 6 Sept: Pasukan Polis Marin Wilayah 5  (PPMW5) Sibu telah mencatatkan dua kejayaan dalam menumpaskan aktiviti haram berkaitan minyak diesel dan kayu balak haram di sini semalam. (isnin)
 
Dalam kes pertama, sepasukan empat anggota PPMW5 yang menjalankan ‘Op Kontraban’ telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup 5,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM80,000 serta menahan seorang jurugan kapal di Pulau Kerto, Batang Rajang pada jam 2.30 pagi.
 
Ketua Polis Daerah Sibu, Aisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata suspek berusia yang 37 tahun gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen terhadap pemilikan diesel bersubsidi tersebut.
 
“Tangkapan suspek lelaki warga tempatan berkenaan serta rampasan kapal itu dilakukan di bawah Akta Bekalan Kawalan 1961” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Katanya, kes tersebut telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
 
Dalam kes kedua, Zulkipli berkata, sepasukan anggota PPMW5 Sibu yang diketuai oleh Sarjan Rodzi Derani telah berjaya merampas 250 balak haram yang diikat menjadi rakit berhampiran Pulau Keladi di perairan Sungai Batang Rajang pada jam 3.20 petang hari yang sama.
 
Katanya, semasa bot ronda RIB 4 menghampiri longgokan kayu balak itu, beberapa buah perahu yang sedang menunda kayu-kayu tersebut telah memotong tali penundaan dan meninggalkan kayu-kayu berkenaan hanyut.
 
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kayu balak tersebut tiada tanda tukul Jabatan Hutan Sarawak (JH) dan dipercayai diperolehi secara haram,” jelasnya.
 
Tambahnya, kesemua rampasan kayu balak tersebut dianggarkan bernilai RM200,000 telah dirujuk dan diserah kepada Jabatan perhutanan bahagian Sibu untuk tindakan lanjut. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.