Penduduk Kampung Jemoreng, dambakan Pusat Komuniti Internet

Spread the love

MATU, 6 Sept: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Jemoreng, di sini memerlukan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk urusan pembelajaran, perniagaan, malah komunikasi harian.

Penghulu Kampung Jemoreng [email protected] Jeni Shahdan berkata sekiranya PIK itu dibangunkan, ia akan mempunyai perkhidmatan rangkaian Internet yang lebih stabil serta boleh dijadikan tempat belajar yang kondusif bagi pelajar sekolah di kampung itu.

“Perpustakaan dah ada tapi pusat Internet belum ada lagi, jadi kami sedang memohon kalau dapat buat pusat Internet di Kampung Jemoreng senanglah untuk anak-anak belajar.

“Selain itu, kampung ini ada sebuah dewan masyarakat tapi ia tidak mencukupi kerana jumlah penduduk di sini agak ramai,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata cadangan untuk membina sebuah lagi dewan sudah dimaklumkan Timbalan Menteri Di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Mohd Rohaizad Sharudin, 24, berkata pembinaan PIK di kampung yang terletak dalam kawasan Matu itu memberi peluang kepada pelajar yang tidak mempunyai sebarang peranti dan alat elektronik mudah laih, yang menjadi elemen asas bagi memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran kini.

Beliau turut berharap agar isu rangkaian Internet syarikat telekomunikasi di kampung itu dapat diatasi dan dipertingkatkan memandangkan penduduk di situ bergantung kepada perkhidmatan Wi-fi untuk komunikasi secara dalam talian.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, penduduk sedar Internet ini penting bagi mereka yang bekerja di rumah, namun akses dan rangkaian Internet di sini kurang stabil.

“Banyak sudah penduduk kampung membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk memantau keadaan Internet di sini. Sebagai penduduk kampung, saya mahu masalah rangkaian Internet ini diperbaiki,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.