Mencari damai hati di Banjaran Bengoh

Spread the love

PADAWAN, 6 Sept:  “Seakan berada di set penggambaran Jurrasic World, ” hati kecil penulis berbisik sendiri ketika berada di dalam bot di tengah-tengah Empangan Bengoh, pengalaman yang begitu mengasyikkan.

Terletak di Padawan, kira-kira sejam perjalanan atau 50 kilometer dari bandar Kuching, ibu negeri Bumi Kenyalang (Sarawak), empangan ini ternyata amat sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk merehatkan minda daripada kesibukan serta suasana hiruk-pikuk kehidupan bandar.

Kaya dengan keindahan alam semula jadi, pelancong yang memilih untuk datang ke sini boleh melakukan banyak aktiviti rekreasi seperti hiking, mendaki bukit dan meredah hutan di sanping menikmati kehidupan kampung yang menjanjikan pelbagai pengalaman.

Pemandu pelancong tempatan, Joekasi Kosok, 37, yang tinggal di Kampung Sting yang berhampiran dengan Empangan Bengoh memberitahu Bernama, beberapa orang penduduk yang dipindahkan di bawah Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) iaitu Kampung Rejoi, Taba Sait dan Pain Bojong menggunakan empangan berkenaan untuk kegiatan pelancongan termasuk menyediakan pakej perkhidmatan bot.

“Dari titik permulaan iaitu jeti Empangan Bengoh, pengunjung boleh ke kawsan Kampung Sting dengan menaiki bot selama 20 minit. Di kampung itu mereka boleh pergi hiking dan ke kawasan Air Terjun  Susung di samping menikmati landskap alam semula jadi yang indah.

“Mereka juga boleh memilih untuk bermalam di Kampung Sting yang terletak di atas Bukit Butah di sini dan bayaran untuk perjalanan sehari bermula daripada RM50 seorang, ” katanya yang menambah, harga berkenaan termasuk upah pemandu pelancong dan perkhidmatan bot serta bayaran masuk ke kampung.

Usaha promosi pelancongan 

Seperkara yang perlu diingat untuk mereka yang merancang ke kawasan Empangan Bengoh ialah tiada isyarat telefon untuk telefon bimbit atau telefon pintar di kawasan berkenaan. Ini bermakna anda tidak akan menerima sebarang notifikasi atau panggilan, justeru sepenuh perhatian boleh ditumpukan kepada keindahan alam semula jadi yang ada di sekeliling anda.

“Boleh dikatakan anak muda sekarang macam tak boleh hidup kalau tak ada internet atau WIFI. Itu yang membuatkan mereka meninggalkan kampung. Masih ada juga yang sebaya dengan saya tapi tak ramai, jadi kebanyakan penduduk tempatan yang masih ada di kampung ini dan menjalankan perniagaan adalah warga emas,” katanya yang berasal dari suku kaum Bidayuh.

Menurut Joekasi yang juga mesra dikenal sebagai “Joe”, usaha penduduk kampung untuk memperkenalkan kampung mereka sebagai lokasi pelancongan bermula pada tahun 2016 apabila kampung mereka terjejas akibat pembinaan Empangan Bengoh pada tahun 2007.

Mereka menggunakan media sosial untuk tujuan promosi dan menerima banyak maklium balas posiiitif dari pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

Pembinaan Empangan Bengoh sekitar dua dekad lalu menyebaban banjir dan keadaan ini mungkin memaksa penduduk beberapa kampung Bidayuh di kawasan Empangan berpindah di bawah program BRS.

Menurut beliau, selain tanah yang subur, penduduk kampung juga kini mampu memperolehi pendapatan sampingan kerana menerusi Internet, semakin ramai yang mula mengenali kampung mereka dan menjadikan Empangan Bengoh sebagai antara destinasi pilihan apabila melawat Kuching.

Bapa kepada empat orang anak ini yang juga menyediakan perkhidmatan bot sewa dan inap desa berkata, penduduk kampung menggunakan pancang buluh untuk menandakan laluan hiking dan membina jambatan untuk memudahkan menyeberangi sungai.

“Mereka yang hiking dapat melihat banyak rumpun pohon buluh yang tumbuh secara semula jadi. Penduduk kampung guna buluh ini untuk membina laluan hiking serta jambatan dan menggantikannya setiap dua tahun sekali.

“Pancang buluh diikat dengan plastik PVC dan akan digantikan setiap setahun atau dua tahun sekali, sekiranya perlu, ” katanya dengan menambah, penduduk kampung akan membersihkan laluan hiking pada hujung minggu.

Pemandangan indah

Sepanjang laluan hiking, terdapat air terjun seperti Air Terjun Curtain,  Air Terjun Pe’an dan paling jauh ialah Air Terjun Susung. Perjalanan untuk sampai ke lokasi air terjun dari pintu masuk kampung mengambil masa sejam untuk jarak sejauh 1.5 kilometer.

Ada satu dahan besar dan kukuh yang penulis jumpa dalam laluan hiking ini dan dengan duduk di atas dahan ini, penulis dapat merakamkan keindahan kawasan sekitar dengan Air Terjun Susung sebagai gambar latar.

“Pengunjung tidak dibenarkan berenang di Air Terjun Susung atas sebab keselamatan kerana airnya amat dalam. Bagaimanapun, mereka boleh menikmati kesejukan air di Air Terjun Curtain,”  kata Joekasi.

Pengunjung boleh memilih untuk singgah di Kampung Sting yang terletak di atas Bukit Butah (Banjaran Bengoh) yang turut menyediakan kemuhan inap desa boleh menikmati panorama Empangan Bengoh daripada lokasi atas bukit itu.

“Penduduk Kampung Sting menanam banyak pokok buah seperti jambu, durian, rambutan dan nanas. Pengunjung boleh menikmati buah-buahan ini secara percuma tetapi musim buah biasanya pada bulan November atau Disember, ” kata Joekasi dengan menambah terdapat kira-kira 14 buah rumah di Kampung Sting.

Ketika tiba di Kampung Sting,  salah orang pemilik inap desa, Tikom Duyau menyambut kedatangan pengunjunjung dengan bahasa Bidayuh, “Seramat Manug (Selamat Datang)!”

Berusia 66 tahun, beliau mengusahakan inap desa sejak lebih 10 tahun lepas.

Menurut beliau, pengunjung yang bermalam di rumah beliau boleh memilih untuk membawa makanan sendiri untuk dimasak kerana dapur dan perkakas dapur disediakan, di samping tilam dan bantal.

Tikom berkata penduduk kampung berharap dapat menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dan Tourism Malaysia meningkatkan promosi Bengoh sebagai destinasi pelancongan, menerusi platform kerajaan.

 

Banyak potensi 

Sementara itu, menurut Joekasi, mereka yang mahu memasuki kawasan Empangan Bengoh perlu membuat tempahan kerana jumlah pengunjung boleh mencapai sehingga 300 orang pada hujung minggu .

Pada hari biasa, bilangan pengunjung adalah antara 20 hingga 40 orang.

“Apabila membuat promosi di Facebook, saya selalu menasihatkan mereka yang mahu datang pada hujung minggu supaya membuat tempahan dua minggu lebih awal kerana kami hanya mempunyai 10 buah bot yang beroperasi di Empangan ini.  Semuanya ada 30 orang penduduk tempatan yang mengusahakan perkhidmatan pelancongan di sini.

“Semua kegiatan rekreasi di sini dijalankan sepenuhnya oleh penduduk tempatan, begitu juga penyelenggaraannya. Kami amat berterima kasih sekiranya pihak kerajaan bersedia membantu dan menyediakan bantuan untuk kami meningkatkan sektor pelancongan di sini,” katanya.

Mengikut rekod, Empangan Bengoh mampu menyimpan 114 juta meter padu air dengan kawasan tadahan seluas 127 kilometer persegi. Empangan ini dibina sebagai sebahagian daripada projek bekalan air bagi keperluan penduduk di bandar Kuching dan daerah sekitar.

Projek bernilai lebih RM300 juta ini siap sepenuhnya pada bulan Januari 2017.

“Bengoh Dam sangon poson (Empangan Bengoh ini sangat cantik). Harap bidapod lagik (Semoga kita berjumpa lagi)!” ucap Joekasi apabila menghantar penulis pulang ke jeti Empangan Bengoh. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.