Lori simen jatuh gaung di Kapit, tiga pekerja maut

Spread the love

SIBU, 6 Sept: Tiga lelaki maut selepas lori simen yang dinaiki  hilang kawalan dan terjatuh ke dalam  gaung di Jalan Merit, Kapit pada pagi Isnin.

Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia merupakan warga tempatan dikenalpasti sebagai George Wong, 33, Bunyau Manggie, 40, dan Steven Janggai Bungkang, 33.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 pagi.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan 12 anggota  dari BBP Kapit bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera, EMRS dan sebuah Perodua Kembara.”

“Namun jentera yang dinaiki tidak dapat meneruskan perjalanan kerana tidak dapat melalui jalan balak sejauh 30 kilometer,” katanya ketika dihubungi TVS.

Pihak bomba terpaksa menumpang dua kenderaan pacuan empat roda milik syarikat simen terbabit untuk sampai di lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati lori membawa muatan simen itu jatuh ke gaung sedalam 20 kaki.

“Mangsa didapati tersepit di dalam lori simen dan pihak kami terpaksa menggunakan sistem takal dan hidraulik untuk memotong bingkai cermin lori.

Kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya lagi.

Mayat kesemua mangsa dibawa naik menggunakan kaedah basket stretcher dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Setelah pihak bomba memastikan keadaan sekeliling tempat kejadian terkawal operasi penyelamatan kemudian ditamatkan pada jam 2.58 petang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.