Bajet 2023 : Kementerian Kewangan komited terus sokong sektor peranti perubatan

Spread the love

GEORGE TOWN, 6 Sept : Kementerian Kewangan komited untuk terus menyokong sektor peranti perubatan sebagai antara sektor pertumbuhan utama menerusi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sumbangan sektor peranti perubatan termasuk mencipta 39,000 peluang pekerjaan dari 2017 hingga 2021 di samping menyumbang eksport bernilai RM41.3 bilion pada tahun lepas.

“Daripada 30 pemain industri peranti perubatan terbesar di dunia, 10 beroperasi di Malaysia termasuk di Pulau Pinang. Pada 2021, sebanyak RM7.7 bilion jumlah pelaburan telah ditarik oleh sektor ini merangkumi beberapa syarikat yang telah beroperasi di Bayan Lepas selama 50 tahun, dan syarikat yang sedang dalam proses membina kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Kejayaan syarikat peranti perubatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tidak perlu diragukan lagi,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Beliau berkata baru-baru ini, beliau telah mengadakan sesi jelajah Bajet 2023 ke Pulau Pinang untuk melengkapkan jelajah ke semua negeri dan telah mempengerusikan sesi dialog bersama lebih 20 peserta industri peranti perubatan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sesi libat urus dengan beberapa syarikat pemula niaga teknologi pertumbuhan tinggi turut diadakan, katanya.

Tengku Zafrul berkata usaha ini selaras dengan penubuhan Kertas Konsultasi Awam terkini mengenai Bajet 2023 bertajuk ‘Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan’.

Ia bertujuan melindungi dan membangunkan keupayaan syarikat teknologi tempatan melalui penambahbaikan ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemasaran hasil R&D tempatan, katanya.

Selain itu, beliau berkata satu dialog juga telah diadakan dengan pengasas dan pihak pengurusan The Habitat di Bukit Bendera bagi mendapatkan status terkini program UNESCO Man & the Biosphere Reserve, antara penerima peruntukan di bawah Bajet 2022.

“Menerusi peruntukan tersebut, ia telah berjaya menambah baik usaha untuk menerapkan konsep ekonomi kitaran sebagai asas kepada pembangunan ekopelancongan lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sokongan kepada industri ekopelancongan adalah strategi serampang dua mata untuk memelihara khazanah alam semula jadi negara dan pada masa sama menyasarkan pelancong bernilai tinggi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.