Wisma Putra sedang sediakan kertas kerja komprehensif mengenai pendidikan kanak-kanak Rohingya di Malaysia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Kementerian Luar (Wisma Putra) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis akan menghasilkan kertas kerja komprehensif bagi memastikan kanak-kanak pelarian Rohingya di Malaysia mendapat pendidikan sewajarnya.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata kanak-kanak Rohingya dari Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC), sama ada dikendalikan oleh komuniti mereka atau NGO, harus mempunyai tempat yang sesuai untuk menimba ilmu dan tenaga pengajar yang berkelayakan.

“ALC perlu kekal menjadi sebuah sekolah…jika anda menyewa, akan sampai satu ketika…sama ada mereka suka anda atau tidak, mereka akan meminta anda keluar,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah untuk kanak-kanak Rohingya, Rabbaniyah Educare di sini, Isnin.

Kertas kerja komprehensif itu akan mengenal pasti keperluan pensijilan ALC dan latihan bersesuaian untuk guru yang juga pekerja sambilan dan sukarelawan, selain meneliti kekurangan sumber serta peralatan di sekolah.

Saifuddin berkata cabaran lain yang dihadapi kanak-kanak Rohingya untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya ialah kesedaran ibu bapa yang menganggap pendidikan tidak penting kerana mereka sendiri tidak berpendidikan.

Selain itu, ALC berdepan cabaran berhubung ruang yang tidak mencukupi untuk kanak-kanak Rohingya belajar kerana ada antara mereka mengendalikan dua kelas dalam satu bilik darjah.

Beliau berkata terdapat keperluan lain untuk meneliti isu pengangkutan bagi kanak-kanak Rohingya yang tinggal jauh dari ALC.

Saifuddin berkata setakat ini terdapat 48 ALC di Malaysia yang ditubuhkan oleh NGO, tetapi hanya mampu memuatkan 30 peratus anak pelarian.

Menurut UNHCR, Malaysia kini menampung sekitar 200,000 pelarian Rohingya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.