Polis tahan wanita disyaki abai anak autisme

Spread the love

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Polis menahan seorang wanita yang disyaki mengabaikan anaknya selepas remaja lelaki autisme berumur 13 tahun itu cedera apabila terjatuh dari tingkat satu sebuah pangsapuri di Taman Melawati di sini pada Jumaat.

Susulan kejadian itu, mangsa menerima lima jahitan di kepala dan tangan kanan serta mengalami retak pada bahagian muka dan tangannya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita tempatan berusia 43 tahun itu telah bertindak meninggalkan mangsa sendirian pada 9.15 malam Jumaat lepas untuk membawa anak perempuannya yang berumur lima tahun ke kelas latihan renang dan bermalam di sebuah hotel di Damansara.

“Mangsa telah terjun dari tingkat satu dan terjatuh di atas sebuah kereta dan kini menerima rawatan di Hospital Ampang di sini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata hukuman bagi Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntuk denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.