Petronas peruntukan RM1.18 juta sediakan lapan Tabika Kemas di Matu

Spread the love

MUKAH, 5 Sept : Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memperuntukkan sebanyak RM1.18 juta bagi membolehkan lapan buah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Daerah Matu mempunyai premis sendiri.

Pengurus Perlaksanaan Projek Petronas di Sarawak, Nor Azam Zawawie berkata, peruntukan itu digunakan untuk menyediakan enam bilik darjah jenis kayu belian dan dua bilik darjah batu di Kampung Loba Balu, Kampung Sekaan Besar, Kampung Sejahtera, Rumah Panjang Gangga, Bruan, Rumah Panjang Muring, Telok Deloh dan Kampung Jemoreng.

Katanya, dua lagi tabika di Kampung Igan dan Kampung Pergau turut dibina di bawah inisiatif berkenaan.

“Sebelum ini Tabika Kemas berkenaan menumpang di premis milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), surau serta premis persendirian seperti ruai dan sebagainya.

“Majoriti bangunan kayu yang dijadikan Tabika juga sudah usang dan berbahaya kepada murid – murid dan guru.Oleh itu,Petronas dengan kerjasama dengan setiap ketua kampung terlibat bersetuju untuk melaksanakan projek ini termasuk menentukan lokasi yang mudah diakses oleh penduduk kampung,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Abang Nor Azam berkata, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu telah dirancang dengan rapi menerusi mesyuarat pertama pada Februari 2018.

“Perlaksanaannya memakan selama tujuh bulan iaitu bermula pada Jun hingga Disember 2019.

“Langkah ini selaras dengan hasrat Petronas untuk menyelesaikan masalah ketiadaan premis Tabika Kemas di Matu,” katanya.

Menurut Abang Nor Azam, melalui projek berkenaan,Petronas berharap dapat memperkasa pembangunan pendidikan awal kanak-kanak malah meningkatkan keyakinan ibu bapa.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Seksyen Pembangunan, Pejabat Daerah Matu, Noorkasmawati Kassim turut berterima kasih kepada Petronas yang melaksanakan projek berkenaan.

“Pada masa sama, saya juga ingin berterima kasih kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya yang telah mengusulkan permohonan pembinaan Tabika Kemas ini,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.