Pemandu Proton Wira Aeroback langgar Timbalan Penolong Pengarah Imigresen diburu polis

Spread the love

SUNGAI PETANI, 5 Sept: Polis memburu pemandu sebuah kereta bagi membantu siasatan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan seorang pegawai imigresen terbunuh di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Gurun semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dilanggar kereta jenis Proton Wira Aeroback.

Baca artikel berkaitan >>>>> Timbalan Penolong Pengarah Imigresen maut motosikal dilanggar lari

“Pemandu kereta berwarna perak itu telah melarikan diri dari tempat kejadian,”katanya kepada pemberita semalam.

Ujarnya, polis turut meminta pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian tersebut tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-558 6668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Muda di talian 04-423 2222.

Terdahulu, TVS melaporkan seorang pegawai imigresen terkorban manakala rakan sekerjanya cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai dilanggar kenderaan lain di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pagi tadi.

Mangsa yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Rakannya yang menunggang motosikal lain iaitu Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, dilaporkan mengalami patah kaki kanan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.