Lelaki 79 tahun ditemukan rentung dalam rumah terbakar

Spread the love

IPOH, 5 Sept: Seorang lelaki warga emas yang tinggal bersendirian ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah di Jalan Menglembu Barat 1, Menglembu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi tadi, mangsa Loo Kin Chan @ Loo Kok Chan, 79, dilaporkan terbunuh dengan kesan melecur kira-kira 90 peratus pada badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata, kejadian itu melibatkan dua buah rumah kayu yang terletak bersebelahan.

Katanya, dua lagi penghuni yang tinggal bersebelahan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

“Kebakaran dipercayai bermula dari rumah lelaki warga emas itu sebelum merebak ke rumah jiran.

“Kedua-dua buah rumah itu musnah hampir 80 peratus dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh kira-kira sejam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Yahaya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk urusan bedah siasat.

Katanya, polis percaya tiada sebarang elemen jenayah dalam kejadian tersebut, manakala bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Operasi berkenaan dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dan BBP Ipoh.  – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.