52 projek sosio ekonomi termasuk pelancongan dan pertanian bakal dibangunkan di Baram – Douglas Uggah

Spread the love

MIRI, 5 Sept : Kerajaan Sarawak akan melaksanakan 52 projek sosio ekonomi termasuk untuk sektor pelancongan dan pertanian di Baram.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkembangan itu menyusul selepas 50 projek infrastruktur di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA)  berjaya disiapkan.

Kata beliau, perancangan berkenaan menunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited memastikan kesemua projek di kawasan pedalaman dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan Sarawak juga ingin membangunkan Baram bagi meningkatkan sosio ekonomi masyarakat selari matlamat membasmi kemiskinan.

“Dalam erti kata lain, kerajaan komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar khususnya di kawasan HDA,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah HDA kali ke-5 di sini hari ini.

Mengulas mengenai rancangan pembangunan itu, Douglas Uggah berkata, tumpuan juga akan diberikan kepada sektor perhutanan dan akuakultur pantas.

“Dalam masa sebulan lagi, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (RECODA) akan membentangkan pelan terperinci projek sosio ekonomi yang boleh dilaksanakan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Menurut Douglas Uggah lagi, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 billion kepada HDA untuk membangunkan infrastruktur di Baram.

Beliau yang juga Pengerusi HDA berkata, RECODA akan terus memantau projek diberikan agar dapat siap dalam tempoh yang ditetapkan.

Ujarnya, meskipun kawasan geografi Baram cukup mencabar namun RECODA cuba sedaya upaya untuk mendapatkan kontraktor terbaik untuk mengatasi masalah di kawasan tersebut.

“Kami berharap agar semua projek yang diluluskan dapat berjalan dengan lancar,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.