UMNO Sabah tidak akan ‘mati’ walaupun pemimpin diheret ke mahkamah

Spread the love

TAWAU, 4 Sept : UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) tidak akan ‘mati’ malah terus mekar di sebalik rintangan yang dihadapi ekoran pemimpin tertingginya kini berdepan kes mahkamah.

Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, ini kerana parti itu tidak ketandusan pemimpin pelapis untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kalau kita lihat sejarah UMNO, pelbagai masalah dan rintangan telah diharungi namun kita tak penah ketandusan pemimpin sebab dalam perjuangan UMNO dan BN, kita tidak hanya perjuangkan pemimpin namun parti keramat,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Perhimpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Bagi Parlimen Kalabakan dan Tawau di Padang Perbandaran Tawau, di sini hari ini.

Jelas Yakub, walaupun ketika ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sedang berdepan kes mahkamah, seluruh ahli dan jentera parti tetap memberi sokongan padu kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Dalam pada itu katanya, UMNO Sabah dan BN sedia bergerak solo menghadapi PRU15 jika tidak mencapai persefahaman berkaitan agihan kerusi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita telah berunding dengan GRS namun belum mendapat kata putus, kita akan perhalusi untuk pengagihan kerusi.

“Kalau kita dapat persetujuan yang sama rata, maksud saya persefahaman, kita akan kerjasama tetapi kalau tidak, UMNO dan BN bersedia untuk bersendirian,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, data tidak lagi boleh digunakan untuk menjadi penanda aras jika UMNO dan BN ingin bergerak solo.

“Dulu jika kita kata pertandingan solo, sudah pasti akan merugikan (parti) namun bila kita masuk Melaka (Pilihan Raya Negeri) kita cakap macam itu, di Johor pun ada yang ragu-ragu tetapi akhirnya keputusan menunjukkan sebaliknya.

“Bukanlah mahu bersikap angkuh tetapi jika kata bergerak solo menempah kekalahan (kepada BN) bukan perkara yang kita boleh cakap dengan data sebab data menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Kira-kira 7000 hadir pada perhimpunan itu yang disertai ahli UMNO dan BN dari Parlimen Kalabakan dan Tawau.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.