Tuah sertai pertandingan ratu cantik ketika cuti semester, Deirdre Serena muncul juara

Spread the love

SIBU, 4 Sept : Penyertaan dalam pertandingan ratu cantik The Face of M.O Sarawak ketika cuti semester ternyata membawa tuah buat Deirdre Serena Sendi Michael Remy apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan itu malam tadi.

Deirdre Serena, 25, pelajar Sarjana Pengurusan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia menyertai pertandingan itu sekadar untuk mengisi masa lapangnya.
 
“Saya tidak sangka akan menang namun bersyukur kerana diberi kesempatan sertai acara ini.
 
“Saya akan gunakan platform ini untuk mempromosikan perkara berkaitan dengan budaya dan aktiviti etnik,” katanya ketika ditemui selepas acara berkenaan di sebuah hotel di sini malam tadi.
 
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Sri Doris Sophia Brodie dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana.
Acara itu turut menyaksikan kehadiran Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James selaku juri.
 
Deirdre Serena yang berasal dari Kanowit berkata, dia akan menggunakan hadiah kemenangan berjumlah RM3,000 untuk perbelanjaan pengajiannya yang akan bersambung pada Oktober ini.
 
Sementara itu, gelaran Lulong iaitu naib johan kategori Kumang dimenangi oleh Mesha Carlynie Jesse manakala tempat ketiga atau Selinggar Matahari menjadi milik Clarissa Rinya Setian.
 
Bagi kategori lelaki pula, Edward Anum Landa yang merupakan usahawan muda muncul juara.
 
Sementara itu, Anyi yang membacakan teks ucapan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran acara kali ini lebih bermakna kerana menjadi medan untuk mempromosikan fesyen pua kumbu.
 
“Selain itu, acara ini juga dapat mengekalkan adat serta mengembleng semangat belia dan usahawan dalam kalangan masyarakat Dayak.

 

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada M.O Sarawak dan Persatuan Bakat Dayak Sarikei di atas kejayaan menganjurkan Malam Gala M.O Sarawak untuk kali ke 12 tahun ini,”katanya. -TVS

 
 
 
 
 

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.