Timbalan Penolong Pengarah Imigresen maut motosikal dilanggar lari

Spread the love

SUNGAI PETANI, 4 Sept : Seorang pegawai imigresen terkorban manakala rakan sekerjanya parah selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai dilanggar dalam kejadian langgar lari di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Gurun hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, mangsa yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43 pula dilaporkan patah kaki kanan.

Ketika kejadian, kedua-duanya yang bertugas di Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dikatakan menunggang motosikal jenis Kawasaki KLE650-C secara berasingan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta merempuh motosikal ditunggang Muhammad Nizam sebelum hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan.

“Pada masa sama, rakannya yang menunggang di belakang dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, polis sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa terbabit dalam kemalangan itu dan pemandunya dipercayai melarikan diri.

Zaidy turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.