Tiga seksyen LPB Sarawak dijangka siap tahun depan

Spread the love

KUCHING, 4 Sept : Masalah pembinaan di tiga seksyen Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijangka akan dapat diselesaikan pada tahun depan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, seksyen yang terlibat ialah di Sarikei, Bukit Begunan dan Sibuti – Lambir.

Katanya, antara masalah yang dikesan ialah berlaku kejadian runtuhan yang memerlukan penelitian semula dalam pembinaan.

“Di Bukit Begunan,kita terpaksa reka bentuk semula kerana kurang sesuai dengan keadaan muka bumi di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya bersama Media Sarawak di sini malam tadi.

Sementara itu, Fadillah memberitahu, setakat 24 Ogos, LPB Sarawak sudah mencapai 86.54 peratus kemajuan pelaksanaan.

Menyentuh mengenai Sabah Sarawak Link Road (SSLR) pula, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, projek jalan penghubung Limbang dengan Lawas itu menjadi keutamaan pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) ketika ini.

“Kementerian masih menunggu keputusan Kementerian Kewangan membabitkan perolehan fasa kedua SSLR,”kata beliau.

Jelasnya, jumlah peruntukan siling bagi projek berkenaan ialah RM12 bilion bersama Lebuhraya Trans Borneo (LTB).

“Kami berharap perolehan projek bagi fasa dua ini akan dimuktamadkan segera, seterusnya melantik kontraktor pada hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.