Tarian ngajat pikat Narirati Muhammad Khairul

Spread the love

SIBURAN, 4 Sept : Tarian ngajat yang merupakan tradisi masyarakat Iban di Sarawak sememangnya mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.

Tarian yang dipersembahkan pada Hari Gawai ini juga sering ‘digunakan’ untuk mempromosikan pelancongan di Sarawak dan Malaysia.

Salah seorang yang jatuh cinta terhadap tarian ini ialah Narirati Muhammad Khairul, seorang kanak- kanak berketurunan Iban yang beragama Islam.

Ditemui di balai raya Kampung Triboh, Balai Ringin, di sini, Narirati,11, berkata, dia mendapat dorongan ibu bapanya untuk mempelajari tarian itu.

“Saya gembira kerana berpeluang belajar tarian ngajat yang terkenal di Sarawak.

“Saya berharap lebih ramai lagi rakan seusia yang akan menyertai kelas tarian seperti ini bagi mengisi masa lapang,”katanya.

Naritati ditemui selepas hadir pada Majlis Penutup Kelas Ngajat anjuran Persatuan Dayak Bukit Kelingkang (DBK) cawangan Melikin di sini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung Sarawak Dayak Iban Association, Nicholas Mujah dan Pengasas DBK, Victor Asun.

Juvita Eba Langgong menerima anugerah pelajar perempuan terbaik pada Majlis Penutup Kelas Ngajat. Foto TVS.

Majlis itu disertai oleh kumpulan tarian ngajat dari pelbagai daerah antaranya Miri, Saratok, Betong, Sri Aman, Balai Ringin dan Simunjan.

Menurut Nariati lagi, minat yang mendalam terhadap budaya bangsa mendorongnya mempelajari tarian tersebut.

“Ketika ini saya mempelajari tarian ini dengan guru, Korea Anak Musit di balai raya Kampung Triboh, Balai Ringin.

Sementara itu, Juvita Eba Langgong, 15, pula berbangga kerana dapat ‘melestarikan’ tarian yang dianggap istimewa di kalangan masyarakat Iban.

“Sebagai seorang berbangsa Iban, saya berbangga kerana dapat mempelajari tarian ini dan berhasrat untuk terus menghidupkan tarian ini untuk generasi akan datang,”katanya.

Juvita turut menerima anugerah pelajar terbaik kategori perempuan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.