PRU15: PAS mahu tanding 80 kerusi Parlimen, pilih kerusi ikut KPI

Spread the love

ALOR SETAR, 4 Sept: PAS menyasarkan untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah, berkata jumlah itu sekali ganda berbanding 40 kerusi ditandingi pada PRU14 dan pihaknya sedang menganalisa kawasan yang mencapai indeks pencapaian utama (KPI) untuk berada dalam senarai 80 kerusi Parlimen yang disasarkan.

“Mana-mana kawasan yang tidak mencapai KPI akan digugurkan dan digantikan kawasan lain yang didapati ada peningkatan prestasi baik dari segi persiapan jentera mahupun keperluan lain untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-68 di Kompleks PAS Kedah di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu juga berkata parti itu menyasarkan 40 kerusi Parlimen untuk dimenangi pada PRU15 sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan.

“Bayangkan apabila (PAS) ada 40 kerusi, ini adalah tanda aras diletakkan dalam perjalanan PAS yang panjang dengan kita menyasarkan bermula 2020 hingga 2050… akan dapat saksikan (jawatan) PM (Perdana Menteri) daripada PAS,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui dalam sesi lawatan ke Bilik Media, Muhammad Sanusi berkata jentera pilihan raya PAS kini berada pada tahap 99 peratus bersedia menghadapi PRU15, dan akan fokus pada kawasan yang dirasakan boleh menang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.