PRU15: Khairy sahkan tidak bertanding di Rembau, beri laluan Tok Mat

Spread the love

KUALA LUMPUR, 4 Sept:  Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata ia berikutan beliau telah diminta untuk memberikan laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Oleh kerana beliau (Mohamad) adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalan kepada beliau. Jadi beliau telah minta saya cari tempat lain la sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

“Saya tidak ada halangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Ditanya kerusi Parlimen yang mungkin diintai pada PRU15, penyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008 itu berkata beliau tidak mempunyai persediaan atau idea untuk mencuba nasib di mana-mana kawasan Parlimen lain setakat ini.

“Saya tidak tahu kawasan lain. Saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan hampir 15 tahun saya jadi Ahli Parlimen Rembau. Sekarang saya kena berusaha sekiranya ada kawasan yang sanggup menerima saya. Atau senario terburuk, saya tidak bertanding tapi tiada masalah bagi saya,” katanya.

Sebagai orang parti, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau akan mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung calon PRU15 dan kerusi yang perlu ditandinginya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.