Peruntukan RM4,000 bakar semangat pasukan futsal Haji Baki

Spread the love

KUCHING, 4 Sept : Pasukan Futsal Kelab Akademi Caa Gee Baa Kampung Haji Baki menerima peruntukan berjumlah RM4,000 sebagai persiapan bagi menghadapi Kejohanan Piala Milo Peringkat Kebangsaan 2022.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Kere Chiang, sumbangan tersebut diharapkan dapat menjadi pembakar semangat buat anak muda di kawasannya untuk terus mengejar kejayaan.

“Sumbangan tersebut sangat bernilai buat mereka kerana mereka telah berusaha sejak sebelum pandemik lagi untuk mendapatkan peruntukan ini.

“Seterusnya ia boleh menjadikan mereka terus bersemangat untuk menjadi juara,” katanya.

Lo berkata demikian pada Program Himpunan 100 Belia Haji Baki dan Penyerahan Simbolik Bendera Sarawak kepada Pasukan Futsal Kelab Akademi Caa Gee Baa Kampung Haji Baki di sini pada hari ini.

Dalam pada itu, Pasukan Futsal Kelab Akademi Caa Gee Baa Kampung Haji Baki akan mewakili Sarawak dalam Kejohanan Piala Milo Peringkat Kebangsaan 2022 pada 10 September ini.

Menurut ketua jurulatih pasukan, Hafizal Marzuki, dengan persiapan yang dilaksanakan sejak Mei lalu, mereka bersedia untuk mengharumkan nama Bumi Kenyalang.

Hafizal berkata platform ini adalah salah satu peluang untuk menonjolkan bakat anak-anak tempatan dalam sukan futsal, terutamanya dari Kampung Haji Baki.

“Misi kami adalah sekurang-kurangnya ke final sekiranya tidak dapat menjuarai kejohanan ini.

“Dengan kejohanan ini juga, saya ingin mencari bakat-bakat baharu di kawasan N13 agar dapat menonjolkan bakat mereka pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Ketua pasukan, Mohammad Ashraf Hakimie, juga yakin bahawa usaha dan semangat yang diberikan pasukannya akan membuahkan hasil pada kejohanan nanti.

“Saya boleh katakan persediaan kami adalah 100 peratus dan kami akan cuba merangkul gelaran juara pada kali ini,” katanya.

Beliau juga berharap pencapaiannya yang baik nanti dapat membanggakan kedua ibu bapanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.