Machan FC juara Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak, bawa pulang RM30 ribu

Spread the love
SIBU, 4 Sept : Pasukan Machan FC menjuarai Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak selepas menewaskan 7DSC dari Baleh dengan jaringan 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibujaya petang semalam.
 
Aksi final itu berlangsung sengit sejak minit pertama permainan namun Machan FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi Mohd. Adib Salim.
 
Begitupun, 7DSC bangkit menyamakan kedudukan menerusi Abdul Salam Saibi pada minit ke – 39 perlawanan.
 
Jaringan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Machan FC kembali mendahului dengan dua lagi gol pada minit ke – 40 dan pada masa tambahan menerusi bekas pemain JDT, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman.
 
Bersambung babak kedua, kedua pasukan saling berbalas serangan namun 7DSC berjaya merapatkan jaringan menjadi 2-3 menerusi Sufizal Ismail pada minit ke -54.
 
Perlawanan akhir itu berkesudahan dengan jaringan 4-2 selepas Machan FC diberikan tendangan penalti pada minit ke- 81 yang berjaya disempurnakan oleh Mohd. Rozaimi.
Bekas pemain Liga Super, Rozaimi Abdul Rahman menyumbang tiga gol kepada Machan FC dalam perlawanan akhir semalam. Foto Facebook Rozaimi Abdul Rahman.
 
Jurulatih Machan FC, Ramles Sari berkata, beliau gembira dengan kejuaraan berkenaan memandangkan pasukannya berdepan cabaran sengit untuk menewaskan lawan yang juga pasukan pilihan pada kejohanan itu.
 
Sementara itu, pasukan Nangka FC dan Sibu District Football Club (SDFC) masing – masing menamatkan cabaran di tempat ketiga pertandingan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
 
Selaku pemenang, Machan FC membawa pulang hadiah RM30 000 manakala naib juara berpuas hati dengan RM15 000.
 
Dua pasukan lagi yang mara ke separuh akhir pula membawa pulang RM5,000 yang disampaikan oleh ADUN Machan, Allen Siden Gramong.
 
Turut hadir, ADUN Nangka, Dr. Annuar Rapee yang juga Penaung Jawatankuasa Penganjur pertandingan itu. -TVS
 

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.