Kerajaan kaji implikasi asing kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya

Spread the love

KUCHING, 4 Sept: Kerajaan masih mengkaji implikasi kepada cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya walaupun banyak negara lain termasuk negara Komanwel yang telah melakukan pengasingan tersebut namun cadangan itu tidak mudah dilaksanakan.

Jelasnya untuk cadangan itu dilaksanakan di Malaysia, sebanyak 19 undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.

Selain itu, perkara tersebut juga melibatkan kos yang memerlukan penambahan kepada perbelanjaan kerajaan.

“Apabila diasingkan Peguam Negara perlu ada pejabatnya sendiri, perpustakaan, staf serta penasihat sendiri kerana tidak lagi boleh berkongsi dengan pendakwa raya.

“Kita juga tidak tahu berapa juta diperlukan setahun untuk membiayai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan wang deposit pembelian tanah Masjid Kampung Sejingkat, di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata secara peribadi beliau menyokong cadangan pengasingan kuasa itu namun kajian menyeluruh diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Semalam, penganalisis politik dari Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat dalam tulisannya yang dilaporkan dalam media tempatan mencadangkan agar pengasingan peranan pendakwa raya daripada Peguam Negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, cadangan tersebut perlu supaya pendakwa raya boleh ‘bebas’ daripada sebarang gangguan politik. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.